Bidadari Oktober

Sepanjang malam saya merenung skrin laptop dan akhirnya saya membuat keputusan menulis surat maya buat saudari yang selalu lekat di hati.

Saudari,

Bagaimana angin 20 oktober bertiup? Masih kencang atau sudah lembut membelai pipi? Bagaimana awan 20 oktober berarak? Masih mendung atau sudah cerah dibias mentari? Dan bagaimana senyuman pada 20 oktober? Masih suram atau sudah berseri?

25 tahun, dua dekad setengah, dua dasawarsa dan satu pancawarsa, suku abad atau apa sahaja istilah masa yang mahu saudari gunakan, saya harap saudari telah mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengalaman. Pengalaman yang saudari akan gunakan buat tahun-tahun mendatang.

Saudari,

Tidak perlu gambar untuk membayangkan wajah saudari kerna saudari paling jelas di hati. Tidak perlu juga buku manual, kompas, penunjuk arah, menara api atau peta kerna saudari tidak pernah hilang di hati. Tidak perlu pilihan kerna hanya ada satu jawapan.

Semoga gadis yang degil menjadikan kedegilan itu satu kekuatan. Semoga seorang gadis yang cengeng menjadikan air mata itu satu pengajaran. Semoga seorang gadis yang sering sakit menjadikan itu satu keinsafan.

Semoga sentiasa dalam lindungan Tuhan, semoga hilang segala kesengsaraan, semoga sentiasa bahagia dan membahagiakan. Apa juga ayat yang menggunakan perkataan "semoga", asalkan ia memberikan makna yang baik, saya tujukan buat saudari.

Saudari, 

Selamat menyambut Jubli Perak. Dan semoga ulangtahun Jubli Emas atau Jubli Intan saudari nanti kita masih mampu menyambutnya bersama.

3 carutan:

cengeng dan degil..itu sy..hehe

 

utk kak ca kan?

ok semoga kak ca & leplep bahagia selalu :D suka tgk!